Salam...
Kalau ada yang perasan, dan kalau ada yang tak perasan, di restoran tingkat atas Ikea, ada beberapa dinding dilukiskan peringatan kepada pelanggan supaya letakkan segala pinggan, gelas dan sudu garfu pada troli bekas makanan yang disediakan. Alasannya amat munasabah, untuk mengurangkan kos pengendalian, sekaligus mengekalkan harga rendah makanan di situ. Rendah ke harga di situ? Bab harga ni, bergantung kepada orang juga, tapi bagi aku, reasonable la gak. Tapi mungkin dah jadi tabiat orang Malaysia secara amnya, lepas makan di tempat awam, sama ada berbayar atau tidak berbayar, pinggan akan dibiarkan saja di meja. Rasanya tak pelik kan? Lagi pelik kalau kita tengok pelanggan tu angkat pinggan dan letakkan di satu tempat pengumpulan pinggan.
Dengarnya di luar negara, ada beberapa negara yang secara 'common sense'nya, pelanggan akan mengemas meja selepas makan. Kumpul sampah dan buang ke tong sampah, dulang dan pinggan kotor diletakkan di tempat pengumpulan. Ramai juga orang Malaysia yang nampak, tahu dan mengamalkannya semasa di luar negara, tetapi entah kenapa bila balik ke Malaysia, balik ke keadaan asal. Apalah salahnya mengamalkan benda baik, manalah tahu dijadikan teladan, dapat gak pahala.
Tapi usahlah harapkan kemas meja, kertas pembalut jatuh ke lantai pun dibiarkan. Sos yang diambil berlebihan, tetapi dijamah pun macam satu kebiasaan.
Di sekolah, kita dididik untuk meletakkan pinggan ke dalam besen pinggan kotor selepas makan. Di asrama, kita diasuh untuk meletakkan pinggan ke dalam besen pinggan kotor selepas makan. Di kolej kediaman universiti, kita diajak untuk meletakkan pinggan ke dalam besen pinggan kotor selepas makan. Tetapi setelah memasuki alam pekerjaan, setelah bergaji besar, setelah berpangkat tinggi, kita tinggalkan saja pinggan di atas meja selepas makan.
Logik berfikir, kalau pergi ke restoran atau kedai makan atau kopitiam, mewah atau sederhana, memang kebanyakan tempat yang menyediakan pekerja untuk mengemas meja. Tapi kalau dah di restoran tu terpampang peringatan supaya kemas meja anda sendiri, faham-faham je la.
Jadi kepada mereka yang telah menerima peluang melihat negara orang, usahlah terlampau bangga dengan kejayaan orang jika kita tidak balik berkongsi ilmu dan pengalaman dengan orang lain. Antara cara kita bersyukur dengan pengalaman kita, adalah memanfaatkan pengalaman kita sebaik mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan