3 November 2017

[PERKONGSIAN DARIPADA WHATSAPP] SAKA? SIHIR? SAKA + SIHIR?

Aku suka gak baca fb ustaz wan asrul al kalantani ni..:

SAKA + SIHIR = ??

"Isteri saya asyik nak cari salah saya je, ada saja yang tak kena. Kalau duk jauh,ok saja,  mesg-mesg, Whatsapp, apa semua, kalau berdepan, saja yang tak kena. Ada orang cuba nak sihirkan rumahtangga saya nie, ramai dah ustaz kata macam tu,  dah buat rawatan macam-macam, rumah dah panggil macam-macam Ustaz pagar, duk macam tu juga, entah sihir ke saka apalah, saya pun tak tau,  tolong saya ustaz. Ada sorang Ustaz tu cakap saka isteri saya bergabung dengan sihir yang orang hantar pada rumahtangga kami. "  Adu seorang suami dalam satu sesi diagnos dan rundingcara di Melaka.

Sang faqir dengan gaya pandangan penuh iltizam lagi optimis memandang si suami dan memulakan pertanyaan seperti berikut :

" tidur malam, sudah tidak tidur bersama kan? Kalau Encik ajak pun, isteri akan mengelak, kan? Isteri lebih suka tidur dengan anak-anak, kan? "

" Anak-anak di rumah lebih selesa dengan ibunya, kan? Tidak selesa dengan encik, kan?"

" Isteri encik uruskan rumah, kan? Walaupun dia juga bekerja, kan?"

"Encik suka main futsal, kalau tidakpun badminton, terutamanya waktu malam, kan?"

Si suami tadi terpaku dan terpesona.

"Ha'ahhh, Betullah Ustaz, macam mana ustaz boleh tahu tu? "

Sang faqir seperti biasa dengan lagak pendeta sambil tersenyum memandang si suami.

" Sebab memang ada saka dan sihir, saka dan Sihir itu yang beritahu pada saya. "

Si suami tadi dengan wajah penuh semangat mencuit si isteri yang dari tadi diam. yang berada di sebelahnya, "Haa, awak tengok,  memang betul ada saka, sihir. Banyakkan ustaz?" si suami sambil mengalihkan soalan pada sang faqir.

" Emm, boleh tahanlah,  adalah dalam sekontena." Jawab sang faqir sambil berlagak pendeta memeluk tubuh.

"Awak nampak, sebab Itulah asyik panas je rumahtangga. Saya dah agak dah. Betullah yang ustaz **×******* kata tu." Si suami semakin bersemangat memberi taklimat kepada si isteri.

"Macam mana nak selesai tu ye ustaz? Boleh tak kita buang sekali harung je? " Soal si suami penuh ghairah.

"Sabar..sabar.. Ada caranya. Saka dan Sihir ini dah lama bertapak dalam rumah tu,  itu yang payah sikit. Tapi Takpe, mesti ada jalannya. Cuma pengerasnya mahal sikit. Dalam RM4500, sebab kes ini agak berat. Boleh encik? "

Si suami dengan semangat, "asal boleh selesai dan sembuh semuanya, berapa pun saya bayar ustaz. Sebelum nie ada ustaz yang berubat minta rm6000, dah bayar, tapi sakit tak sembuh-sembuh juga. Tak rasi kot ye. Harap-harap yang kali ni, rasilah."

"Ok good, cuma sebelum tu, saya nak tanya, Puan kerja apa ya? " Sang faqir menyoal.

Si isteri menjawab, " saya akauntan di company pembinaan."

Sang faqir sekali lagi dengan penuh iltizam mengajukan pengesahan kepada si isteri;

" Puan yang lebih rapat dengan anak-anak, kan? "

"Puan yang lebih garang dengan anak-anak, kan? "
" Sampai sahaja di pintu rumah selepas balik kerja, Puan akan rasa resahkan?"

Si isteri mengangkat mukanya. " Betul ustaz."

"Ok, saya nak tanya, Puan jawab dengan jujur ye. Puan PENAT kan? " Sang faqir bertanya.
Si isteri tiba-tiba teresak-esak, menangis.

"Betul ustaz, saya penat, penat sangat. Kehidupan sama saja. Saya dah macam tiada kehidupan." Si isteri bersuara.

"Ok, Puan bertenang ya, sekejap nanti saya tanya semula." Sang faqir menenangkan si isteri.
Mengalihkan pandangan iltizam sang faqir ke arah si suami.

"Saka ini susah nak buang Encik. Selagi Sihir tak dibuang." Sang faqir mengajukan kepada si suami.

"Sihir yang macam mana tu ustaz? " Si suami bertanya.

"Sihir ini namanya sihir endah tak endah. Sihir ini memang banyak jadi dalam rumahtangga.

Memang sihir ini kalau dibiarkan, sampai mati pun lekat. Memang payah." Jelas sang faqir.

"Macam mana tu ustaz? Saya tak faham." Si suami kehairanan.

"Simple sahaja, isteri Encik sedang menangis kan tu? Apa yang Encik patut buat? Duduk pula jauh sedepa. Rasanya masa bercinta dulu, gunung emas, bukit permata, cinta sayang tak lepas dari mulut, betul tak?" Sang faqir mula masuk gear.

"Saka isteri Encik ini, namanya Saka Letih, campur pula dengan Sihir Endah tak Endah, memang satu gabungan terbaiklah. Tinggal sikit saja lagi, silap-silap jadi mental isteri Encik." Sang faqir membebel.

"Saya tak faham ustaz. Apa masalah sebenarnya? " Si suami masih lagi dalam kebingungan.

"Macam nielah, isteri Encik balik kerja memang dah letih, ya, Encik pun letih. Encik balik rumah, kalau tidak hadap TV,  paling tidak bersiap-siap untuk keluar hendak main futsal atau badminton dengan kawan, sebelum keluar mesti akan tanya,  makan malam dah siap? Selesai bersantap, Encik pun melangkah keluar pergi. Anak-anak tak rapat dengan encik, pasal Encik jarang yang amat mendengar mereka mengadu, Encik lebih suka mengadap Whatsapp, fb kalau di rumah. Anak-anak jadi menjauh dengan encik, sampaikan nak duduk sekali pun rasa kekok, jika tiada ibu mereka bersama. Am I right? Kalau saya salah, tolong betulkan saya." Sang faqir cuba menjelaskan.

Si suami terdiam dan sedikit tertunduk, " betul ustaz."

" Makhluk bergelar isteri ini Encik,  letih macam mana pun, mereka akan bersungguh untuk buat buat yang terbaik kepada pasangan dan anak-anak. Mereka manusia, sama macam kita. Kalau robot pun perlukan bateri, dan bateri yang habis perlu dicaj. Sama juga makhluk namanya isteri, mereka akan kehabisan 'bateri' dan mereka perlu dicaj. Nak caj macam mana tu? Tahu tak? " Soal sang faqir.
Si suami menjawab, " tak tahu ustaz."

Sang faqir bertanya, "berapa usia rumahtangga Encik ya?"

"8 tahun ustaz." Si suami menjawab ringkas kegugupan.

"8tahun kahwin, tapi Encik masih tak tahu cara hendak caj 'bateri' isteri? Aduhaii.. ok takpe, saya kongsi, make sure take note, sebab tu saya pesan, kalau nak jumpa saya, jangan bawa limau segala macam, tapi bawa buku nota dan pen. Ini yang bawa limau apa hal? (Sambil menunjukkan ke arah bungkusan plastik berisi limau di atas meja). Balik buat air limau lagi baik." Bebel sang faqir.

" Kalau Encik nak tahu, yang isteri Encik duk mengamuk tak tentu pasal, ada saja yang tak kena, itu adalah bahasa Isyarat seorang isteri hendak bagitau suami dia yang dia penat, please help me, I need your help. Encik ada dengar tak sayup-sayup suara tu dari dalam hati isteri? " Soal sang faqir.
"Tak ustaz." Si suami menggeleng.

"Tunggu apa lagi, rapat lah dengan isteri tu, pegang tangan dia, bagi dia tenang." Tegas sang faqir pada si suami supaya menenangkan isteri yang sedang teresak-esak. Si suami kemudiannya merapat kepada isterinya. Si isteri sedikit demi sedikit bertenang.

" Cara nak caj 'bateri' isteri yang letih uruskan rumahtangga adalah TALKING, TOUCHING, HUGGING dan KISSING. Simple saja, tapi orang Melayu kita nie, kalau kita sebut 4 benda tu, kebanyakannya, seganlah, malu lah,  tak biasalah. Hello Bro,  itu kan isteri sendiri, bukannya buat pada isteri orang. Faham tak?" Sang faqir membebel.

"Mesti tak jelas kan. Ok, talking tu bercakap, bercakap macam mana? Banyakkan komunikasi, usik mengusik, gurau senda, buat kelakar ke, bagi isteri berbunga-bunga hati dia, dia letih macam mana pun, dia boleh handle. Lagi, Touching, masa bercakap tu, pegang lah tangan dia, gosok lah rambut dia, usap belakang dia, pandang wajah dia, mata dia, bukannya susah pun. Lagi, Hugging, peluklah isteri dari belakang, terutamanya masa dia di dapur buat kerja, bisikkan kata-kata cinta, at least I love you, paling tidak pun thank you, kita rasa biasa, tapi bagi isteri yang sedang letih, itu adalah luar biasa. Mudah je kan? Lagi, kissing, cium. Isteri akan malu-malu jika suami hendak cium dia, tapi sebenarnya dia suka. Ciumlah pipi dia, macam mana? Secara mengejut. Tapi jangan pula depan orang ramai, melampau pula (si isteri tadi teresak-esak, mula ceria dan tertawa). Cium dahi isteri setiap kali sebelum dia tidur dan setiap pagi masa bangun tidur. Semua tu benda mudah saja. Boleh buat kan?" Sang faqir menyoal si suami.

" InsyaALLAH boleh ustaz." Si suami kelihatan lebih yakin.

"So, selesai dah cerita. Kalau boleh buat semua tu, amalkan dalam rumahtangga, insyaALLAH selesai masalah sihir endah tak endah, saka letih. Satu lagi, dengan anak. Pun sama, kena buat yang sama. Mereka perlukan 4 perkara itu juga. Saya doakan encik sekeluarga bahagia dunia akhirat." Sang menyambung.

"AlhamduLILLAH ustaz, saya dah sedar. Betullah, memang salah saya selama ini, saya buat tak endah pada isteri dan anak saya. Terima kasih ustaz. Cuma, pengeras RM4500 tu nanti saya bank in, boleh tak ustaz? Sekarang cash bawa tak cukup." Si suami bersuara.

Sang faqir hampir ketawa, " Oo pasal pengeras tu, tak perlu bank in atau apa, kalau betul ada duit sebanyak tu, bawa isteri jumpa Dr wah chan atau prof Habib Jewel, terapi minda untuk isteri."

Mereka suami isteri tertawa.

"Mesti dah lama tak ketawa bersama macam nie kan?" Soal sang faqir.

Si isteri mengiyakan. "Memang pun ustaz, dia sibuk gelak-gelak dengan kawan-kawan dia saja."

Si suami menggosok lembut lengan si isteri  tanda memujuk.

" Saya rasa bahagian saya dah selesai, selebihnya saya serahkan pada kalian suami isteri." Sang faqir menamatkan sesi.

"Last nak tanya ustaz, macam mana dengan ustaz- ustaz sebelum nie, yang cakap ada saka, ada sihir, minta bayaran mahal-mahal tu, padahal yang buat tu orang panggil ustaz. Macam mana tu?" Si suami bertanya.

"Itu semua penipu. Tak pandai kemudian memandai. Nasib enciklah jumpa orang-orang macam tu. Lepas nie kena berhati-hati ya." Sang faqir menjawab.

Sesi Diagnos dan Rundingcara Kesihatan tamat sejurus beberapa ketika selepas itu.

Ketahuilah keganasan rumahtangga atau salah laku suami kepada isteri tidak hanya berlaku secara
fizikal, ianya juga berlaku secara mental dan jiwa.

Kenali pasangan anda. Fahami pasangan anda.
Protokol Talking, Touching, Hugging & Kissing.
Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan