2 Januari 2011

azam tahun baru 2011

Salam.

Apabila datang tahun yang baru, perkara yang selalu bermain di minda adalah apa azam tahun baru masing-masing. Di samping itu, adakah azam anda tahun lepas telah tercapai?

Biasanya azam tak pernah tercapai. Ini disebabkan kita selalu meletakkan azam kita terlampau sukar untuk dicapai. Apabila membuat azam, sebaiknya azam itu hendaklah boleh dicapai dalam masa setahun. Azam yang boleh dicapai dalam masa singkat, akan membuatkan azam anda tidak bernilai. Azam yang tidak boleh dicapai dalam masa setahun pula akan sekadar menjadi azam.

Azam yang telah anda pilih, sebagai contoh, ingin menabung, pula haruslah realistik. Kalau kita hanya mampu menabung RM1 satu hari, eloklah kita meletakkan SALAH SATU azam kita untuk menabung RM300 dalam tahun ini. Kenapa RM300? Bukannya RM365? Ini adalah untuk menjadikan realistik, kemungkinan besar untuk kita 'tercicir' satu dua hari menabung RM1 dalam setahun amat tinggi. Walau bagaimanapun, tidak salah anda meletakkan sasaran anda RM365, kerana lebih sukar sedikit azam anda, akan membuatkan azam anda lebih mencabar.

Setelah anda menetapkan azam anda untuk menabung, dan sasaran anda adalah RM300 dalam setahun, anda perlu membuat atau menyediakan kaedah pemantauan azam anda. Sebagai contoh, anda boleh memantau perkembangan azam anda setiap bulan, setiap 3 bulan atau setiap 4 bulan. Kegagalan memantau kemajuan usaha anda boleh membuatkan anda lupa kepada azam anda. Jangan sekadar bersemangat pada minggu pertama sahaja.

Contoh lain, anda juga boleh meletakkan membuat 'post' yang berfaedah dalam blog anda, sekali seminggu sebagai satu lagi azam anda. Jadikan azam anda objektif, mempunyai sasaran jelas dan boleh dicapai. Sekiranya azam anda subjektif, seperti sekadar membuat post dalam blog, anda akan cepat kehilangan semangat yang begitu berkobar-kobar pada awal tahun.

Antara contoh-contoh azam yang selalu kita dengar,
1. Menurunkan berat badan; jadikannya menurunkan berat badan sebanyak 12kg sepanjang tahun. Sasaran jangka pendek, turunkan berat badan sebanyak 1kg setiap bulan.

2. Lebih banyak membaca; jadikannya membaca 24 buku sepanjang tahun. Sasaran jangka pendek, baca 2 buku setiap bulan, atau 1 buku setiap 2 minggu.

3. Mendirikan rumah tangga; jadikannya menabung RM6000 untuk belanja kahwin. Sasarang jangka pendek, menabung RM500 setiap bulan.

Kenapa perlu ada sasaran jangka pendek? Sasaran jangka pendek, adalah pecahan kecil azam kita, supaya lebih realistik dan mudah dicapai. Bayangkan membaca 24 buku pada satu masa, bukankah bunyinya agak menyeksakan? Ada kemungkinan kita akan patah semangat terus, tanpa memulakan pembacaan buku yang pertama lagi.

Kongsikan pengalaman anda mencapai azam-azam tahun lepas, atau kongsikan apa azam anda tahun ini, dan apa strategi anda kepada semua. Semoga kita sama-sama dapat faedah daripada perkongsian ini.

Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan