Salam,
Jumaat lepas, topik khutbah Jumaat adalah berkaitan mengambil hak orang lain. Antara petikan yang saya masih ingat, amalan seseorang akan ter'gantung' daripada perkiraan kelak sekiranya seseorang itu ada mengambil hak orang lain.
Walaupun biasanya kita tidak akan mengambil barang orang lain, tetapi tetap mengambil hak orang lain. Antaranya, kita tidak layak untuk sesuatu kerja tetapi akan berusaha secara 'tidak sah' untuk mendapatkannya. Sebenarnya kita telah pun mengambil hak orang lain, yang mungkin telah menghabiskan banyak wang atau masa untuk memenuhi kelayakan sesuatu kerja, sedangkan kita yang tidak layak dipilih untuk membuat kerja tersebut. Tambahan pula, kerja tersebut tidak sempurna kerana kita tidak arif dalam menyiapkan kerja tersebut.
Selain itu, tidak meletakkan kereta dalam satu kotak dengan betul juga boleh dikira mengambil hak orang lain. Bergantung kepada masa, mungkin kita bukan sahaja telah mengambil hak satu orang, bahkan mungking lebih daripada 5 orang. Hal 'parking' ini mungkin nampak remeh, tapi sekiranya difikirkan dengan mendalam, kita boleh lihat kesan dan akibatnya kepada orang lain. Samalah juga dengan memotong barisan kenderaan ketika traffic jam, memandu perlahan di lorong tengah atau lorong laju dan sebagainya.
Satu lagi perkara yang selalu berlaku, kita akan cepat membuat andaian apabila mendengar sesuatu cerita daripada satu pihak. Biasanya andaian yang kita buat akan salah dan negatif, padahal sekiranya kita memberi peluang untuk mendengar penjelasan daripada pihak yang satu lagi, kita mungkin memahami masalah sebenarnya, yang mungkin sebenarnya tiada masalah pun! Lupakah kita, sebelum kita membuat andaian, satu pihak lagi juga mempunyai hak untuk menceritakan penjelasannya?
Dalam perniagaan, secara am, diakui pengguna mempunyai hak untuk memilih barangan dan mempunyai hak untuk membeli barangan yang dikehendakinya. Tetapi masyarakat selalu lupa, penjual juga mempunyai hak yang sama untuk meletakkan harga mengikut perkiraan kos mereka. Tidak adil untuk membandingkan harga jualan sekiranya tempat jualan adalah berlainan, apatah lagi jenis atau kualiti barangan adalah berbeza. Selalu kita dengar kes, pembeli akan mengatakan suatu barangan itu lebih murah jika dibeli di kedai lain (tetapi hakikatnya, walaupun barangan itu sama, tetapi jenama dan kualitinya berbeza), tetapi sekiranya pembeli itu pergi ke kedai makanan segera berjenama terkenal dan berkata, 'kenapa burger di sini mahal sangat, abang burger seberang jalan tu jual RM2 je?', apakah agaknya yang akan berlaku?
Sekiranya kita suka mengutamakan hak kita, hormatilah juga hak orang lain. Sebelum kita 'bising' dengan hak kita, dengarlah dulu hak orang lain. Walaupun kita selalu hanya memikirkan hak kita, sekali kita merenung hak orang lain, insyaAllah, masyarakat kita akan lebih aman dan damai.
Nice!
BalasPadam