11 Oktober 2011

Dipetik daripada MalaysiaTopBloggers.Blogspot.Com: Kebenaran Nabi Musa membelah laut

Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil.



Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.

Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.

Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.

Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.

Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.

Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.

Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.

Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di Internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE.


Sumber: Malaysiatopbloggers.blogspot.com

25 Ogos 2011

Salam Aidil Fitri buat semua

Harap dapat dimaafkan sekiranya ada terkasar bahasa atau terguris hati.
Semoga bergembira pada hari lebaran, selamat sampai ke destinasi dan selamat kembali setelah habis cuti :)

17 Ogos 2011

Google Reader

Salam,

Saya suka membaca blog-blog, tidak kira di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Topik juga amat luas, dari sekecil-kecil perihal bola sepak, sehinggalah ke perihal politik dan juga agama Islam.

Tahukah anda dengan menggunakan Google Reader ataupun 'pelayar-pelayar' lain, kita boleh melanggan blog yang kita suka? Ini bermakna, kita akan menerima notis ada 'posting' terbaru daripada blog tersebut dan notis ini akan hilang atau lenyap setelah kita selesai membaca blog tersebut melalui Google Reader? Notis ini tidak akan menyemakkan Inbox e-mail kita, sebaliknya hanya akan memaparkan nama blog dan jumlah posting yang belum kita baca. Saya cukup tidak suka menyemakkan inbox e-mail :).

Melalui Google Reader, kita juga boleh membuat folder, supaya blog-blog yang kita langgan dapat dikumpulkan mengikut kategori yang kita suka. Selain itu, kita juga boleh meletakkan 'star' kepada posting yang kita suka, memudahkan kita untuk mencari semula posting tersebut pada masa akan datang. Fungsi 'tag' untuk melabelkan posting tersebut juga disediakan (bukan tag gambar macam facebook ye :p)

Dalam hati: Banyak membaca luas pandangan.

1 Ogos 2011

Doing it wrong of the day

Senarai Internet Scam paling popular kebelakangan ini, diterangkan dengan mudah. Siap ada gambar tu. Berhati-hatilah, bermacam gaya penipuan internet sekarang.


 Sumber: www.blameitonthevoices.com

Dalam hati: Tiada perkara/kerja yang senang. Kalau kita terjumpa sesuatu yang rasanya macam TERLALU SENANG atau TERLALU MENARIK, biasanya ada udang di sebalik mi.

1 Ogos 2011 = 1 Ramadhan 1432

Salam 1 Ramadhan & Salam Bulan Kemerdekaan Malaysia,


Semoga ibadah puasa kita tidak cacat dan diterima Allah SWT. Semoga kita berjaya mengharungi sebulan berpuasa dengan tenang dan penuh keimanan. Semoga perjalanan hidup kita dipermudahkan.

Dalam hati: Bagaimana agaknya upacara Hari Kebangsaan sekiranya tarikh 31 Ogos jatuh pada Hari Raya Ketiga?

16 Julai 2011

No Plastic Day

Salam,

Seperti yang semua sudah maklum hari Sabtu adalah hari tanpa beg plastik. Semua Sebilangan besar kompleks beli belah dan kedai-kedai tidak akan memberi beg plastik dengan percuma. Kita perlu MEMBELI beg plastik tersebut. Tujuan asal aktiviti ini adalah untuk mengurangkan penggunaan beg plastik terutamanya ketika pembuangan sampah.

Persoalan yang ingin saya ketengahkan adalah, adakah dengan tidak memberi beg plastik secara percuma dapat mengurangkan penggunaan beg plastik pada hari Sabtu? Ya! Tiada keraguan.

Tetapi adakah dengan tidak memberi beg plastik secara percuma pada hari Sabtu dapat mengurangkan jumlah beg plastik ketika pembuangan sampah? Pada pandangan saya, TIDAK!

1. Ketika membuang sampah, kita masih membungkus dengan beg plastik. Jadi adalah lebih baik adakan kempen penggunaan beg plastik mudah lupus atau mudah reput.

2. Ataupun kompleks belibelah wajib memberi beg kertas atau kotak sekiranya beg kertas atau kotak tidak meninggalkan kesan toksik ke atas bumi. Walaubagaimanapun, penggunaan beg kertas dan kotak akan menyebabkan lebih banyak pokok ditebang pula.

3. Pihak berkuasa tempatan mengarahkan sampah dibuang dalam tong sampah, tanpa beg plastik. Tong sampah ini boleh ditarik dari pagar dan diangkat secara automatik dengan menggunaan lengan hidrolik lori. Jadi sampah akan terus masuk ke dalam tangki lori, dan di'flush' dengan tekanan udara tinggi.

4. Troli boleh digunakan untuk mengangkut barang sehingga ke kereta. Ini boleh mengurangkan penggunaan plastik. Jadi, tetapkan terus setiap hari tanpa beg plastik. Ini akan menghapuskan 'kekeliruan' atau 'terlupa' untuk membawa beg belibelah non-woven yang boleh diguna semula. Tetapi masalahnya ada plak orang kita yang siap bawak balik troli sekali ke rumah :(.

5. Beg plastik tidak boleh dijual, walaupun atas nama kebajikan atau apa-apa pun. Ramai masih sanggup bayar lebih, kerana memang melecehkan jika tidak ada beg plastik. Tapi kalau dah memang langsung tak ada, rasanya semua boleh terima keadaan itu.

6. Perbanyakkan lagi tong sampah kitar semula, dengan satu tong khas untuk beg plastik sahaja. Untuk jadual kutipan sampah di kawasan perumahan, wajar sekiranya 2 hari seminggu ditetapkan untuk kutipan beg dan barangan plastik. Dengan ini, kuantiti beg plastik dan barangan plastik di tempat pembuangan sampah boleh dikurangkan, mungkin sehingga 50%!

7. Masalahnya, kalau kita pergi 'tapau', kalaula takde plastik, macam mana la agaknya... Kena bawak tupperware la kot.

Dalam hati: Walaupun cuba untuk mengurangkan penggunaan beg plastik, banyak keadaan memaksa kita tetap guna beg plastik, kerana kita telah dibiasakan dengan beg plastik.

2 Julai 2011

Demonstrasi. Tunjuk Perasaan.

Salam,

Pertama sekali, aku tidak menyebelahi mana-mana parti politik. :).

Cuma bagi aku, kenapalah tidak diadakan tunjuk perasaan secara aman di tempat lapang, seperti di Stadium ke, Padang ke, Dataran ke, kemudian panggil la semua pihak media, jemputla wakil dari Istana Negara ke, selesaikan di situ. Sape nak join, penyertaan dibuka. Rasanya kalau orang awam, mesti respek. Pasal memang takkan kacau sape-sape, walaupun pastinya roadblock akan tetap diadakan. Ye la, manatau, kot-kot ada yang pergi bawak parang ke tombak ke pulak kang. Katalah pihak Istana tak nak hantar wakil, barula hantar wakil 3 orang ke pagar istana. Tak perlu berarak, sebab kat TV dah keluar Live Coverage orang ramai dah berkumpul besar-besaran kat situ.

Rasanya barulah betul demokrasi, sebab hak untuk orang yang tak nak join demo pun terjaga. Hak orang yang nak pergi KL membuat urusan penting pun terbela. Hak peniaga mencari rezeki untuk keluarga mereka juga terpelihara. Kot-kot la tiba-tiba ada seorang yang sakit, perlu dihantar ke HKL ke, terpaksa melalui laluan demonstrasi jalanan tu, disebabkan kesesakan yang patut boleh dielakkan, mati dalam perjalanan. Atau ada anak-anak kecil yang mengharapkan ayah mereka pulang membawa makanan sedap atau mainan, hampa kerana rezeki ayahnya kurang hari tersebut.

Mungkin memang ada pihak yang tidak jujur menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin atau pemantau pilihanraya, tetapi kenapa rakyat lain yang menanggung derita?

Mungkin perlu ada wartawan membuat liputan khas, pemandu teksi, peniaga kecil, polis dan keluarga mereka pada hari demonstrasi itu dijalankan.

Mungkin memang benar ada 'tangan ghaib' yang sedang bermain 'catur', dan 'tunjuk perasaan jalanan' ini salah satu strategi percaturannya.

Hanya Allah Maha Mengetahui.

Dalam hati: Percaya masih ada jalan yang lebih baik.

30 Jun 2011

Tahniah Skuad Malaysia!

Berita gembira, Pasukan bolasepak Malaysia menang 2-1 ke atas Taiwan pada perlawanan pertama. Walaupun masih ada satu lagi perlawanan di tempat lawan, harapnya akan menang sekali lagi di sana nanti.

Walaupun mempamerkan corak menarik, kekadang pasukan Malaysia tampak hilang fokus dan merugikan banyak peluang di depan gol.

Dalam hati: Malaysia menang next game dan layak peringkat seterusnya :).

29 Jun 2011

Lepas makan...

Salam...

Kalau ada yang perasan, dan kalau ada yang tak perasan, di restoran tingkat atas Ikea, ada beberapa dinding dilukiskan peringatan kepada pelanggan supaya letakkan segala pinggan, gelas dan sudu garfu pada troli bekas makanan yang disediakan. Alasannya amat munasabah, untuk mengurangkan kos pengendalian, sekaligus mengekalkan harga rendah makanan di situ. Rendah ke harga di situ? Bab harga ni, bergantung kepada orang juga, tapi bagi aku, reasonable la gak. Tapi mungkin dah jadi tabiat orang Malaysia secara amnya, lepas makan di tempat awam, sama ada berbayar atau tidak berbayar, pinggan akan dibiarkan saja di meja. Rasanya tak pelik kan? Lagi pelik kalau kita tengok pelanggan tu angkat pinggan dan letakkan di satu tempat pengumpulan pinggan.

Dengarnya di luar negara, ada beberapa negara yang secara 'common sense'nya, pelanggan akan mengemas meja selepas makan. Kumpul sampah dan buang ke tong sampah, dulang dan pinggan kotor diletakkan di tempat pengumpulan. Ramai juga orang Malaysia yang nampak, tahu dan mengamalkannya semasa di luar negara, tetapi entah kenapa bila balik ke Malaysia, balik ke keadaan asal. Apalah salahnya mengamalkan benda baik, manalah tahu dijadikan teladan, dapat gak pahala.

Tapi usahlah harapkan kemas meja, kertas pembalut jatuh ke lantai pun dibiarkan. Sos yang diambil berlebihan, tetapi dijamah pun macam satu kebiasaan.

Di sekolah, kita dididik untuk meletakkan pinggan ke dalam besen pinggan kotor selepas makan. Di asrama, kita diasuh untuk meletakkan pinggan ke dalam besen pinggan kotor selepas makan. Di kolej kediaman universiti, kita diajak untuk meletakkan pinggan ke dalam besen pinggan kotor selepas makan. Tetapi setelah memasuki alam pekerjaan, setelah bergaji besar, setelah berpangkat tinggi, kita tinggalkan saja pinggan di atas meja selepas makan.

Logik berfikir, kalau pergi ke restoran atau kedai makan atau kopitiam, mewah atau sederhana, memang kebanyakan tempat yang menyediakan pekerja untuk mengemas meja. Tapi kalau dah di restoran tu terpampang peringatan supaya kemas meja anda sendiri, faham-faham je la.

Jadi kepada mereka yang telah menerima peluang melihat negara orang, usahlah terlampau bangga dengan kejayaan orang jika kita tidak balik berkongsi ilmu dan pengalaman dengan orang lain. Antara cara kita bersyukur dengan pengalaman kita, adalah memanfaatkan pengalaman kita sebaik mungkin.

27 Jun 2011

Kembali menulis :)

Salam,

Merujuk kepada posting terakhir, tarikhnya15 Februari 2011... Bererti lebih 4 bulan aku tidak membuat sebarang posting. Kesibukan dengan pelbagai perkara bukan sahaja telah menghalang aku untuk meneruskan blogging, tetapi telah mematikan motivasi aku untuk menulis. Tetapi baiknya, aku telah berjaya melihat macam-macam perkara yang kekadang aku sendiri tak percaya aku akan menghadapinya.

Jadi, bagaimana aku mendapat motivasi itu? Aku telah menerima hadiah yang sungguh istimewa, Compaq Presario. Bukan saja aku dapat melayari internet tanpa wayar (WiFi, bukan Wireless broadband :p), aku dapat membuat pelbagai urusan yang selama ini tidak dapat aku capai dengan menggunakan laptop lama. Adakah aku akan dapat terus menulis dengan lebih kerap? InsyaAllah. :)

16 Februari 2011

Punca kemalangan ngeri di Malaysia?

As-salam.

Kalau kita perasan, makin lama jumlah kemalangan atau kecelakaan jalan raya semakin meningkat. Dalam jumlah yang saban hari semakin meningkat, tahap kengerian juga semakin mengerikan. Selain daripada faktor ketentuan Allah, banyak faktor-faktor yang boleh diambil kira.

Faktor pemandu. Walaupun sepatutnya pemandu kenderaan adalah yang terlatih (sebab dah melalui pelbagai ujian dan dapat lesen), ramai pemandu memandu macam sedang bermain bumper car, ataupun sedang bermain permainan video. Pengaruh video game? Barangkali. Tetapi bukan mereka saja yang bermain video game. Orang lain yang memandu secara berhemah, juga main game :p. Kenapa perlu memotong barisan secara tidak waras? Kenapa perlu memotong melalui laluan kecemasan? Kenapa perlu memandu perlahan di lorong tengah atau lorong kanan? Kenapa tidak memberi isyarat sebelum membelok ke simpang... bla bla.. kalau nak dibuat ensiklopedia pun dah boleh.

Faktor kenderaan. Di sebalik pelbagai undang-undang seperti wajib memasang tali pinggang di tempat duduk belakang, dan dengarnya wajib di'pasang' ABS untuk kereta baru, rasanya lebih molek, diwajibkan kenderaan mesti dihantar untuk pemeriksaan berkala, tetapi bukan di Puspakom sahaja (kerana Puspakom rasanya tak mampu nak buat untuk semua kereta lagi). Mungkin ada cara yang lebih praktikal untuk memastikan sekurang-kurangnya, brek, lampu (depan dan belakang) dan tayar diperiksa. Apakata diberi kepercayaan itu kepada pengusaha stesen minyak? Kalau tidak semua, mulakan dengan yang utama. Kalau setakat brek, lampu dan tayar, tak sampai pun 10 minit. Cetakkan resit dan 'claim' sticker daripada PosMalaysia. Stesen minyak memang kita pergi. PosMalaysia pun dah ada banyak cawangan. Walaupun ramai menuding jari ke arah kereta lama, tetapi kalau kereta lama itu 'well maintained', jauh lebih baik daripada kereta baru, tapi lampu brek tidak menyala dan tayarnya hampir botak!

Faktor jalan raya. Tak perlu diulas panjang. Kang kena ISA :).

Faktor cuaca. Tak boleh ulas panjang. Kalau dah hujan lebat, pandu la perlahan.

Faktor tumpuan (pun bawah faktor pemandu kot). Kalau ada panggilan telefon, berhenti la di tepi.. Ataupun perlahankan kenderaan dan berada di lorong perlahan. Kalau nak tengok DVD, pergi duduk kat belakang. Bagi anak anda drive je.

Faktor yang paling menarik, faktor doa pemandu lain yang teraniaya. :) Macam pernah dengar, orang cakap, kalau cukup 40 orang doa, insyaAllah termakbul doa tu. Jadi, janganla kita doakan yang tak elok ke atas pemandu lain yang kurang ajar tu. Doakanlah agar dia sedar akan kesalahannya. Doakanlah agak dia tidak akan melakukannya lagi. Doakanlah agar tiada orang lain yang tidak bersalah terlibat sekiranya dia kemalangan (ops, terdoa dia kemalangan plak ;) ).

Semoga kita sama-sama jadikan jalan raya di Malaysia, laluan selamat dan menyeronokkan untuk semua.

11 Februari 2011

Road Tax tak sampai setahun dah tertanggal?


Kalau roadtax tertanggal sebegini, walaupun tak sampai setahun, salah pengguna juga kah?

Kusangka merajuk, rupanya 'koma'

Salam,


Rasanya ada la dalam 3 hari saya tidak bersamanya, tapi dia tetap mendiamkan diri. Ku usik, usik dia tetap tidak bangun. Alamak, bukan sekadar tidak bangun, dia langsung tidak mengeluarkan bunyi.


Dah koma! Terpaksa saya kejutkan dengan 'pengejut elektrik'.


Nasib baik memang saya dah ada beli 'jump start' cable... cuma masalahnya nak kena tolak dia ke kawasan yang lebih lapang. 


Saya bertiga... ya bertiga, dengan Aiman sekali tolak Lancerku... dah la berat, parkla kat atas rumput... Yang tak tahan tu, awal-awal, Aiman berada pada arah yang salah... kita nak tolak ke belakang, dia pergi tolak dari belakang plak... kih kih kih, comel betul dia tu.


Setelah segala persiapan termasuk memasang kabel selesai, Lancer mengaum kegumbiraan setelah sedar kembali....


Pengajaran: Kalau teringin nak mempunyai kereta lama, kena la rajin maintain :). Peralatan DIY pun kena la ada sikit kat rumah.

2 Februari 2011

Nak kutip RM100,000 untuk didermakan kepada Pemain Bola?

Salam,


Wah, sungguh bertuah pemain bola sepak Piala AFF. Persatuan Penulis Sukan Malaysia tengah kutip duit sumbangan untuk diDERMAkan kepada mereka atas kejayaan. Menurut sumber akhbar online, sasaran RM100,000 dan telah berjaya kutip RM93,938.

Niatnya baik, tetapi bagi saya lebih murni jika usaha sebegini dibuat untuk membantu golongan yang lebih memerlukan.
*_* : Layakkah mereka terima derma?


31 Januari 2011

Pergimu Ditunggu, Tibamu Dinanti

Salam,

Dulu semasa kecil, bila kita keluar rumah, kita minta izin daripada kedua ibu bapa. Bila kita pulang, kita beri salam tanda kepulangan kita.

Setelah dewasa, dan berumah tangga, adakah kita masih memberitahu, kita sudah bertolak dan menuju ke kampung? Adakah kita masih menghubungi mereka, kita sudah sampai ke rumah setelah pulang dari kampung?

Dengan adanya teknologi internet, SMS mahupun talian telefon, sepatutnya lebih mudah kita saling hubung-menghubungi antara satu sama lain. Kalau ibu bapa kita ada akaun facebook, lebih mudah kita mengemaskinikan status perjalanan kita.

Bukannya apa, ibu bapa mana yang tak risau, sekiranya walaupun waktu sepatutnya kita sampai di kampung, tetapi masih tak nampak wajah anak tersayang. Rupa-rupanya anak masih di rumah 'terlajak' tidur... ataupun sedang membeli-belah dalam perjalanan membeli 'buah tangan'. Kan ke elok, kita belanjakan sedikit 'SMS' untuk memberitahu status kita.

Mungkin ada yang berkata, 'tak payahlah, buat apa menyusahkan mereka. nanti mereka susah-susah nak siapkan apa-apa plak.' Tapi tahukah anda menunggu tanpa apa khabar berita adalah lebih menyusahkan? Nak keluar ke kedai sekejap tak boleh. Nak baring berehat sekejap tak boleh. Maklumla, anak nak balik. Jangan-jangan nak ke tandas pun terkejar-kejar. Mana lebih menyusahkan, ibu jangka sampai waktu tengah hari, jadi dah disiapkan hidangan makan lauk kegemaran, dah dibancuh air teh kesukaan, tetapi rupanya baru nak bertolak. Kasihan ibu...

Satu lagi kes, apabila satu keluarga kemalangan, mayatnya sudah reput di tepi lebuhraya. Kalau ada yang diberitahu rancangan perjalanan, mungkin sudah sesiapa pergi mencari. Mungkin ada sesiapa sudah pergi membuat laporan.

Bukannya niat untuk menyusahkan yang menunggu, bukannya niat untuk mengawal pergerakan yang bergerak. Hanya sekadar memudahkan urusan kedua-dua pihak. Buat apa cari pasal, kalau kita tahu ada benda lebih mudah dibuat awal-awal daripada menyesal kemudian hari.

Coretanku: Syukur alhamdulillah, dilahirkan dalam keluarga yang berfikiran positif, matang dan berwawasan.

28 Januari 2011

Selamat Pagi Malaysia! dan JPJ Padang Jawa

Salam,

Wah, setelah sekian lama tidak menonton Selamat Pagi Malaysia (SPM), saya mengakui terkejut dan kagum dengan perbezaan yang ketara berbanding kali terakhir saya menontonnya. Dengan menggunakan teknologi terkini seperti berinteraksi melalui Facebook, topik dan cara penyampaiannya menarik serta selari dengan maklumat terkini.

Awal minggu ini, saya telah ke JPJ Padang Jawa, untuk mengemaskinikan alamat dan memperbaharui lesen memandu. Haha, sebelum saya cerita, bila kita sebut JPJ, mesti kita terus terbayang, sistem yang tidak terurus, kesesakan orang yang datang dan kekurangan tempat letak kereta.

Oleh sebab urusan kerja, saya hanya sampai ke pejabat JPJ dalam pukul 3.45, waktu yang kurang sesuai untuk membuat urusan kerana dahulunya, waktu sebegini, tentu ramai sedang beratur. Di tempat letak kereta, walaupun sempit, masih ada tempat kosong! Wah, petanda baik, mungkin tak ramai di pejabat. Tetapi yang menjadi masalah, pengguna meletak kereta sesuka hati dan tidak kemas di dalam petak, menyebabkan beberapa petak tidak dapat digunakan. Sampai di pintu masuk, ada 4 kaunter 'pertama' lengkap dengan papan tanda, memudahkan urusan. Layanan mesra juga membuatkan ramai pengunjung tidak bermasam muka.

Dari kaunter pertama tadi, papan tanda arah ke bilik-bilik urusan mengikut tujuan juga jelas dan banyak kelihatan. Sampai di tingkat 1 bilik 6 untuk lesen memandu, saya mengambil nombor... alamak, lagi 89 orang? Terus terbayang, berapa lama terpaksa menunggu, dan sempatkan urusan pada petang ini, dan kena datang esok? Pengurusan yang efisien, membuatkan satu nombor baru dipanggil kurang daripada 45 saat... bermakna, walaupun 89 orang, nombor saya bakal dipanggil kurang daripada 1 jam! Di kaunter juga, pegawai mengambil maklumat dan memproses lesen dengan baik dan mesra. Tahniah JPJ!

Walau bagaimanapun, yang membuatkan keadaan kurang manis, banyak berpunca daripada pengunjung, seperti tidak mengisi borang dengan lengkap atau mengambil nombor tetapi tidak menunggu giliran. Bila nombor terlepas, baru nak datang memohon simpati.

Teruskan la usaha peningkatan sebegini.

23 Januari 2011

5 Keputusan Carian Tertinggi 'How To Make Good Blog'

Salam,

Kepada yang sedang mencari petua membuat blog yang baik,

1. MakeAGoodBlog.Blogspot.com

2. ProBlogger.Net; Ten Tips For Writing A Blog Post

3. 43Folders; What Makes A Good Blog

4. MakeGood.Com/Blog

5. UseIt.Com; Top 10 Weblog Design Mistakes

Petua Sakit Kepala

Cuba jika berminat, saya tidak akan bertanggungjawab atas apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku :)

1. Laman Petua Nenek;
"Penawar Sakit Kepala

Jika anda sering diserang sakit kepala, selain makan ubat amalkan petua ini :
Ramas beberapa helai daun sirih di dalam mangkuk yang berisi air. Kemudian basahkan kepala dengan air dan daun sirih tersebut sambil memicit-micit kepala selama 15 minit. Tumbuk enam helai daun sawi hingga lumat. Campurkan dengan sedikit garam, lumurkan serta gosokkan perlahan-lahan pada dahi dan pelipis. Ramas asam jawa sebesar telur ayam dengan secawan santan lalu tapis. Kemudian basahkan kepala dengan air suam lalu bungkus. Biarkan seketika dan kering di kepala, barulah basuh bersih. Rasa sakit akan berkurangan dan rambut jadi lembut. Tumbuk dua atau tiga helai daun setawar hingga lumat. Kemudian tempekkan di kepala dan balutkan. Biarkan semalaman.Rebus beberapa biji kulit manggis dengan tiga gelas air. Biarkan sehingga airnya tinggal satu gelas sahaja. Tapis dan buangkan hampasnya. Berkumur setiap hari tapi jangan sampai terminum pula airnya."

2. dnnya.co.cc; "Sebaik bangun dari tidur, cuci muka terlebih dahulu sebelum gosok gigi. Oleh itu, kita akan jarang dapat penyakit ini."


3. Melur.com; "Untuk menghilangkan sakit kepala, ambil beberapa helai daun bunga raya dan ramas bersama 3 gelas air. Letakkan di atas kepala selama 1/2 jam."

2. PetuaLama.Blogspot.com; "Ambil sebiji kecil bawang putih, hiris nipis dan tampal pada kiri dan kanan pelipis."

5. Puspanita SPA; "Setiap orang mungkin mengalami sakit kepala yang amat sangat akibat tekanan di tempat kerja dan sebagainya.Jadi untuk menghilangkan rasa sakit kepala itu, ambil tiga atau empat keping asam gelugor atau asam keping. Rendamkan dalam air suam semalaman. Minum air tersebut pada keesokkan harinya. Insyaallah sakit kepala anda akan hilang serta merta."

17 Januari 2011

Mansuh atau Musnah kan saje bulatan / roundabout di Malaysia!

Salam,

Bulatan atau roundabout di Malaysia lebih berbahaya daripada langgar lampu merah di traffic light. Tak percaya? Cuba pandu di bulatan Seksyen 2 / 3 di Shah Alam, bulatan Kota Kemuning dekat McDonald's tu, atau di bulatan yang antara Sunway Lagoon dan Traffic Light Summit tu.

Yang perlu diberi perhatian, kalau kita menghala ke arah jam 12, kereta dari arah jam 9 yang menghala ke arah jam 3, tetapi kereta tersebut akan menggunakan lorong paling kiri. Tambahan lagi, langsung tak peduli kereta kita. Sebaliknya kita yang terpaksa memperlahankan kereta seolah-olah kita sedang melintas jalan.

Kadang-kadang kereta dari arah jam 9 yang menuju ke arah jam 12 pun dengan laju dan selambanya keluar, membuatkan kita terpaksa brek mengejut.

Takde ke kajian kenapa terjadinya keadaan begini kat Malaysian? Nak kata tak pernah jumpa bulatan, susah la nak percaya. Adakah disebabkan 'survival development'? Terpaksa berbuat 'jahat' untuk meneruskan kehidupan? Dah jadi macam haiwan plak.

Malaysian Tak Takut Undang-undang

Salam,

Agaknya memang Malaysian dah makin kaya. Undang-undang tak takut, saman boleh bayar. Undang-undang tak takut, ada duit semua boleh jadi. Memang tak semua, tapi kebanyakannya. Tanda had laju maksimum, kini macam tanda had laju minimum. Tak percaya, cuba pandu kereta 80km/j kat Federal Highway. Rasa kalau buat speed trap, habis buku saman polis trafik. Tapi takpe la kot, sebab Federal Highway tak berbahaya. Buat speed trap di tempat bahaya je. Persoalannya, ke mana perginya kesedaran Malaysian?

16 Januari 2011

Orang lain buat tak boleh, aku buat takpe!

Salam,

Haha, kontroversi punya tajuk.

Pernah tak kita dengar, 'Kau tengok la si A tu, buat apa pun mesti pentingkan kroni dia. Jangan harap la nak dapat kat kita sikit pun. Tengok la, bila aku naik plak, aku naik kan kroni aku plak.'

Hmm, sepatutnya kita kalau dah tau seseorang tu buat silap, setidak-tidaknya, kita patut elak daripada buat kesilapan yang sama. Ni tidak, kita pulak nak tunjuk kita pun sama macam dia.

Bukan nak kata peringkat pemerintah je, peringkat orang-orang biasa macam kita ni pun selalu jadi.

Dari satu aspek, memang kita akan cenderung untuk memilih orang yang kita telah kenal sekiranya ada dua atau lebih pilihan yang LAYAK. Bukan sahaja boleh memudahkan segala urusan, kita juga boleh berasa lega, kerana orang yang kita pilih adalah orang yang kita percayai.

Tetapi sekiranya kita membuat pilihan atas dasar kenal, walaupun orang itu tidak layak, itu adalah satu perkara yang lain. Belum lagi dikira faktor-faktor lain seperti unsur rasuah.

Sebenarnya, kita takut untuk mencuba. Kita takut untuk menerokai kemungkinan yang baru. Kita suka untuk berada dalam zon selesa atau zon selamat. Padahal, sekiranya kita berani untuk mencuba, mungkin kita akan berada pada satu tahap yang lebih tinggi daripada sebelumnya. Secara mudah, kalau kita perlukan seseorang untuk sesuatu kerja. Ada 2 calon, satu kawan kita yang tak berapa layak, dan satu orang lain yang bukan sahaja layak, tetapi mempunyai pengalaman dan dedikasi yang tinggi, dengan memilih orang yang lebih layak, walaupun kita tidak kenal, kita akan dapat seorang lagi kenalan baru. Kita akan dapat menumpang pengalaman dia. Kita juga akan mendapat hasil yang lebih baik.

Dalam masa yang sama, kita juga akan dapat tahu, adakah kawan kita itu sebenarnya kawan, atau sekadar mahu mengaut kepentingan daripada kita.

The Invisibles, best :)

Salam,



Sekadar berkongsi. Movie The Invisibles.
Best, jalan cerita menarik, walaupun simple.

Moral, jangan ikut perasaan dan bila kita berniat untuk berbuat baik, insyaAllah akan ditunaikan permintaan itu.

Thumb down to G**** Bkt K*******, Thumb up to Carrefour!


Salam,

Kalau la, kita tengah dalam barisan, menunggu giliran untuk membeli barangan;
- masa tu, kita lah orang terakhir dalam barisan. Takde orang dah belakang kita.
- masa cashier tengah dok punch-in kan barangan orang depan, dia tak cakap apa-apa pun.
So kita pun tunggu la.
- dan bila habis je barangan orang depan tu, patutnya kita punya turn la kan...

TETAPI,
- datang sorang lady ni, cakap (walaupun elok-elok), kata lane tu ditutup. Sila pergi ke lane sebelah.
- bila ditanya kenapa, lane ni nak tutup. Cashier tu nak rehat.

APA YANG KITA PATUT BUAT?!
- terpulang la kepada anda...
- saya dengan berat hati, pergi gak la ke lane sebelah. Tapi ada plak 2 0rang lain tengah menunggu giliran!
- kedengaran plak, cashier tadi kata kat lady 'supervisor' tu, 'kesian dia kak, lama dah dia tunggu'... aku tak berapa dengar apa lady tu kata, tp jelas sekali intonasi dan beberapa perkataan membawa makna, 'takpe, dia boleh pergi lane lain. kau pergi rehat'.

PANAS PLAK TETIBA TELINGA AKU! Aku pun pergi ke lane tadik, letak bakul barangan tadik (yang ada hanya 4 item, tak sampai pun 3 minit kalau dia punch kan jap, kalau aku tunggu gak kat lane baru ni, minimum mau 10 minit... tu pun kalau lampu emergency lane diorang tak berkelip plak!)
- kedengaran lagik suara lady tu sayup-sayup sambil aku melangkah blah, ketensionan, 'ek eleh mamat ni... bla bla..'



So Sabtu, aku pergi ke Carrefour Bukit Rimau. Rupa-rupanya, kalau aku beli barangan yang sama semalam, aku akan bayar lebih beberapa ringgit untuk produk yang sama jenama. Ni la kot, rahmat di sebalik kejadian semalam. Tambahan plak, cashier lebih bersopan santun, dan berhemah. Siap mintak maaf sebab lambat sikit check harga untuk barangan yang barcodenya tak dapat dibaca.

Tahniah la Carrefour Bukit Rimau! Bertambah seorang pelanggan setia, dan terima kasih je la G**** Bukit K*******, berkurang la seorang pelanggan. Melainkan ada keadaan mendesak, aku tak akan beli barang kat situ lagik.

Carrefour Bukit Rimau

9 Januari 2011

Yang haram tetap haram, tapi yang halal...?

Salam,

Khutbah Jumaat yang lepas mengingatkan kami semua tentang isu halal dan haram. Tak perlulah saya explain lagi apa yang halal dan apa yang haram, tetapi kalau kita fikirkan, apabila sesuatu perkara itu haram, confirm la sampai bila-bila pun akan haram... tapi apabila sesuatu perkara itu halal, ada kalanya ia boleh jatuh menjadi haram.

Ye ke??!!

Contoh:
Arak itu haram, tapi air mineral sebotol boleh jadi haram jika kita ambil air botol orang lain.

Mendedahkan aurat itu haram, tapi memakai pakaian (wajib) tapi menampakkan susuk tubuh pun haram.

Mencuri itu haram, tapi berniaga (harus) kalau menindas pun haram.

Jadi berhati-hatilah, kalau kita tak pasti, baik kita merujuk kepada orang yang lebih tahu. Kalau kita suka-suka menyebarkan maklumat yang tak betul, niat kita untuk membetulkan sebaliknya menyebabkan kita membuat fitnah.

Dengan adanya kemudahan internet, kita sepatutnya lebih mudaht membuat rujukan, sebaliknya kita lebih suka membuat tuduhan. Kita sepatutnya lebih patut merujuk kepada sumber yang lebih diiktiraf, sebaliknya lebih suka mencari yang sensasi. Pucuk pangkalnya, diri kita sebenarnya yang menentukan hala tuju diri kita sendiri.

Apa pun yang terjadi, kalau yang baik berlaku, bersyukurlah kepada Allah, dan pujilah diri sendiri, tapi janganlah puji diri secara terang-terangan. Cukuplah sekadar berkata dalam hati. Kalau orang lain puji kita, kita seronok, cubalah kita puji diri kita dengan ikhlas. Keseronokan lebih terasa.

Kalau yang tidak baik berlaku, percayalah kepada Allah, kerana segala yang berlaku adalah atas izin daripada Nya. Pasti ada hikmah di sebalik yang berlaku. Kalau kita yakin Tuhan itu satu, solat tak pernah tinggal, tapi bila sekali Allah menguji kita, terus nak memaki hamun, terus nak komplen sepanjang hari, terus nak menuduh mana-mana pihak yang biasanya tak bersalah pun. Yakinlah, segala yang berlaku adalah atas izin daripada Allah.

3 Januari 2011

Mengambil hak orang lain?!

Salam,

Jumaat lepas, topik khutbah Jumaat adalah berkaitan mengambil hak orang lain. Antara petikan yang saya masih ingat, amalan seseorang akan ter'gantung' daripada perkiraan kelak sekiranya seseorang itu ada mengambil hak orang lain.

Walaupun biasanya kita tidak akan mengambil barang orang lain, tetapi tetap mengambil hak orang lain. Antaranya, kita tidak layak untuk sesuatu kerja tetapi akan berusaha secara 'tidak sah' untuk mendapatkannya. Sebenarnya kita telah pun mengambil hak orang lain, yang mungkin telah menghabiskan banyak wang atau masa untuk memenuhi kelayakan sesuatu kerja, sedangkan kita yang tidak layak dipilih untuk membuat kerja tersebut. Tambahan pula, kerja tersebut tidak sempurna kerana kita tidak arif dalam menyiapkan kerja tersebut.

Selain itu, tidak meletakkan kereta dalam satu kotak dengan betul juga boleh dikira mengambil hak orang lain. Bergantung kepada masa, mungkin kita bukan sahaja telah mengambil hak satu orang, bahkan mungking lebih daripada 5 orang. Hal 'parking' ini mungkin nampak remeh, tapi sekiranya difikirkan dengan mendalam, kita boleh lihat kesan dan akibatnya kepada orang lain. Samalah juga dengan memotong barisan kenderaan ketika traffic jam, memandu perlahan di lorong tengah atau lorong laju dan sebagainya.

Satu lagi perkara yang selalu berlaku, kita akan cepat membuat andaian apabila mendengar sesuatu cerita daripada satu pihak. Biasanya andaian yang kita buat akan salah dan negatif, padahal sekiranya kita memberi peluang untuk mendengar penjelasan daripada pihak yang satu lagi, kita mungkin memahami masalah sebenarnya, yang mungkin sebenarnya tiada masalah pun! Lupakah kita, sebelum kita membuat andaian, satu pihak lagi juga mempunyai hak untuk menceritakan penjelasannya?

Dalam perniagaan, secara am, diakui pengguna mempunyai hak untuk memilih barangan dan mempunyai hak untuk membeli barangan yang dikehendakinya. Tetapi masyarakat selalu lupa, penjual juga mempunyai hak yang sama untuk meletakkan harga mengikut perkiraan kos mereka. Tidak adil untuk membandingkan harga jualan sekiranya tempat jualan adalah berlainan, apatah lagi jenis atau kualiti barangan adalah berbeza. Selalu kita dengar kes, pembeli akan mengatakan suatu barangan itu lebih murah jika dibeli di kedai lain (tetapi hakikatnya, walaupun barangan itu sama, tetapi jenama dan kualitinya berbeza), tetapi sekiranya pembeli itu pergi ke kedai makanan segera berjenama terkenal dan berkata, 'kenapa burger di sini mahal sangat, abang burger seberang jalan tu jual RM2 je?', apakah agaknya yang akan berlaku?

Sekiranya kita suka mengutamakan hak kita, hormatilah juga hak orang lain. Sebelum kita 'bising' dengan hak kita, dengarlah dulu hak orang lain. Walaupun kita selalu hanya memikirkan hak kita, sekali kita merenung hak orang lain, insyaAllah, masyarakat kita akan lebih aman dan damai.

2 Januari 2011

azam tahun baru 2011

Salam.

Apabila datang tahun yang baru, perkara yang selalu bermain di minda adalah apa azam tahun baru masing-masing. Di samping itu, adakah azam anda tahun lepas telah tercapai?

Biasanya azam tak pernah tercapai. Ini disebabkan kita selalu meletakkan azam kita terlampau sukar untuk dicapai. Apabila membuat azam, sebaiknya azam itu hendaklah boleh dicapai dalam masa setahun. Azam yang boleh dicapai dalam masa singkat, akan membuatkan azam anda tidak bernilai. Azam yang tidak boleh dicapai dalam masa setahun pula akan sekadar menjadi azam.

Azam yang telah anda pilih, sebagai contoh, ingin menabung, pula haruslah realistik. Kalau kita hanya mampu menabung RM1 satu hari, eloklah kita meletakkan SALAH SATU azam kita untuk menabung RM300 dalam tahun ini. Kenapa RM300? Bukannya RM365? Ini adalah untuk menjadikan realistik, kemungkinan besar untuk kita 'tercicir' satu dua hari menabung RM1 dalam setahun amat tinggi. Walau bagaimanapun, tidak salah anda meletakkan sasaran anda RM365, kerana lebih sukar sedikit azam anda, akan membuatkan azam anda lebih mencabar.

Setelah anda menetapkan azam anda untuk menabung, dan sasaran anda adalah RM300 dalam setahun, anda perlu membuat atau menyediakan kaedah pemantauan azam anda. Sebagai contoh, anda boleh memantau perkembangan azam anda setiap bulan, setiap 3 bulan atau setiap 4 bulan. Kegagalan memantau kemajuan usaha anda boleh membuatkan anda lupa kepada azam anda. Jangan sekadar bersemangat pada minggu pertama sahaja.

Contoh lain, anda juga boleh meletakkan membuat 'post' yang berfaedah dalam blog anda, sekali seminggu sebagai satu lagi azam anda. Jadikan azam anda objektif, mempunyai sasaran jelas dan boleh dicapai. Sekiranya azam anda subjektif, seperti sekadar membuat post dalam blog, anda akan cepat kehilangan semangat yang begitu berkobar-kobar pada awal tahun.

Antara contoh-contoh azam yang selalu kita dengar,
1. Menurunkan berat badan; jadikannya menurunkan berat badan sebanyak 12kg sepanjang tahun. Sasaran jangka pendek, turunkan berat badan sebanyak 1kg setiap bulan.

2. Lebih banyak membaca; jadikannya membaca 24 buku sepanjang tahun. Sasaran jangka pendek, baca 2 buku setiap bulan, atau 1 buku setiap 2 minggu.

3. Mendirikan rumah tangga; jadikannya menabung RM6000 untuk belanja kahwin. Sasarang jangka pendek, menabung RM500 setiap bulan.

Kenapa perlu ada sasaran jangka pendek? Sasaran jangka pendek, adalah pecahan kecil azam kita, supaya lebih realistik dan mudah dicapai. Bayangkan membaca 24 buku pada satu masa, bukankah bunyinya agak menyeksakan? Ada kemungkinan kita akan patah semangat terus, tanpa memulakan pembacaan buku yang pertama lagi.

Kongsikan pengalaman anda mencapai azam-azam tahun lepas, atau kongsikan apa azam anda tahun ini, dan apa strategi anda kepada semua. Semoga kita sama-sama dapat faedah daripada perkongsian ini.

Wassalam